Tuesday, 28 February 2012

::Selagi Ada Tuhan::

Masa Miss Axcident

Sesungguhnya kehidupan ini penuh dengan kegembiraan yang hanya dapat dirasai oleh akal yang 'berfikir' dan mata yang 'melihat'. Sekalipun anda telah merasakan kehilangan segala-galanya dalam hidup, ingatlah bahawa Allah masih bersama anda.

Jika anda kehilangan Tuhan, barulah hidup anda tidak berguna lagi. Namun anda tidak akan pernah kehilangan Tuhan kerana Dia sentiasa memberikan peluang untuk anda berkomunikasi dengan-Nya. Anda tidak perlu kepada perantara, tidak perlu masa-masa tertentu serta tidak perlu membuat temu janji terlebih dahulu. Luahkan apa saja kepada-Nya dan mohonlah bantuan-Nya.

Usah banyak mengeluh. Mengeluh itu perbuatan syaitan. Usah diturutkan runtunan hati dan keinginan yang salah justeru itu ia bisikan syaitan. Sebaliknya banyakkan mengingati Allah. Fikirkan jika Tuhan itu bersama anda, mengapa Dia menduga anda sebegitu dasyat? Jika Tuhan itu wujud dan  sayangkan anda, mengapa Dia biarkan anda menempuh dugaan? Tidakkah anda melihat bahawa Tuhan itu amat sayangkan anda dan ingin memberi anda syurga kerana itu Dia duga dengan dugaan yang besar. Apabila Dia ambil segala-galanya daripada anda, bermaksud agar anda berserah diri kepada-Nya.

Orang yang tidak diduga adalah orang yang berada jauh daripada keredhaan Allah. Apabila anda diduga, itu adalah tanda cinta dan kasih sayang Allah terhadap anda. Itu tanda Allah memerhatikan anda. Allah hiraukan tentang hidup anda. Allah berbicara dengan anda. Bersyukurlah kerana itu tanda-tanda Allah bersama anda.

Ketahuilah tidak ada seorang pun yang diduga oleh Allah dengan apa jua kesakitan zahir dan batin hatta jarinya terkena duri sekalipun, melainkan Allah mengampunkan dosa-dosanya. Bersyukurlah!

No comments:

Post a Comment